Ada 18 Sebab Kenapa Anda Asyik Gagal Temuduga Kerja

Mahu dapatkan jawatan atau kerja sekarang ini bukannya senang. Kerana ada banyak pemohon. Persaingannya hebat. Bila sudah dipanggil temuduga, itu sudah dikira hebat walau belum tentu dapat lagi kerja tersebut.

Peluang dipanggil temuduga tidak mungkin dilepaskan, namun bila gagal…kecewa yang amat sangat. Terutama kepada mereka yang sudah lama menganggur.

Usah sekali-kali menyalahkan penemuduga. Mereka bukan saja-saja tidak meluluskan anda. Tentu ada sebabnya kenapa mereka gagalkan anda. Patutnya kena muhasabah diri dan cari punca kenapa gagal temuduga.

Berikut adalah punca atau sebab kenapa ramai orang gagal temuduga untuk jawatan kerja kosong yang dipohon.

Bila ada gagal temuduga. Analisa sebab-sebab ini. Jadikan pedoman untuk menghadapi temuduga berikutnya.

[+] RAHSIA LULUS TEMUDUGA KERJA KERAJAAN

Ada 18 sebab gagal temuduga kerja kosong

1# Tidak kelihatan professional

Siapa pun anda, apa pun latarbelakang anda, bagaimana pun taraf ekonomi anda, anda harus memaparkan imej professional semasa hadir ke sesi temuduga.

Imej professional bukan bermakna perlu memakai pakaian mahal yang dibeli di butik terkenal. Cukup sekadar sejuk mata penemuduga yang memandang.

Temuduga bukan sesi pertunjukan fesyen terutama bagi calon perempuan. Perlu kelihatan cantik, tapi berhati-hati supaya tidak merimaskan pandangan mata panel temuduga.

Cara paling mudah adalah membuat tinjauan awal di mana anda di panggil temuduga. Kerja kerajaan atau swasta. Lihat pakaian semasa mereka, bukan semasa mereka pakai pakaian seragam. Dan pakailah seperti itu bila pergi temuduga.

2# Terlebih ramah dan terlalu santai

Adalah normal bila seseorang itu rasa gentar saat hadir ke temuduga dan sewaktu di tempat temuduga. Sesi temuduga adalah sesi yang formal. Anda boleh bersantai apabila panel temuduga menukar sesi kepada santai.

Terdapat calon yang cuba menghilangkan rasa gentar mereka dengan menjadi terlalu peramah hingga menimbulkan kurang selesa kepada pihak lain.

Kekalkan tahap normal. Terlebih ramah boleh timbulkan pandangan yang kurang baik terhadap kemampuan komunikasi anda. Bercakap hanya bila disoal dan bertanya bila disuruh bertanya. Ikut rentak penemudug.

Hilangkan rasa gementar sebelum dengan membaca, mendengar muzik, berdoa, berzikir dan lakukan senaman ringkas.

Relak..anda bukan dihukum. Anda hanya disoal.

3# Berlebih-lebih dalam lagak dan gaya

Walau apa pun pencapaian anda dalam pelajaran atau bidang pekerjaan sebelum ini, usah meninggi diri. Sikap meninggi diri boleh dilihat daripada gaya dan percakapan anda.

Membanggakan diri amat berbeza dengan menyatakan atau mengemukakan kelebihan diri.

Panel temuduga dilatih untuk memahami Bahasa badan dan gaya Bahasa calon. Mereka boleh tahu sama ada calon itu meninggikan diri melalui gaya berjalan anda dan cara anda bercakap.

Mereka punya pelbagai teknik untuk mengeluarkn maklumat diri anda melalui soalan yang mereka ajukan. Mereka professional. Anda juga harus bersikap professional.

Berlebih-lebih dalam gaya dan ketika bercakap tidak akan membantu anda. Bersederhanalah dalam tingkah laku dan ketika bercakap. Dalam erti kata lain…jangan bergaya sombong dan jangan cakap besar!

4# Tiada persediaan diri dan lambat

Oh sekali-kali tidak! Jangan lambat pada hari yang cukup bermakna untuk anda. Lambat sampai ke tempat temuduga menceminkan sikap dan pengurusan diri yang lemah.

Buat persediaan awal mencari lokasi temuduga dan kawasan letak kereta jika datang dengan kenderaan sendiri.

Lambat hanya untuk masalah yang benar-benar tidak terduga dalam perjalanan awal ke tempat temuduga, seperti kemalangan misalnya.  Alasan kesesakan lalu lintas adalah kesilapan yang besar. Jangan keruhkan keadaan dengan alasan lambat bangun tidur dan lambat bersiap.

Bersedia awal. Hadir awal ke tempat temuduga. Pelbagai alasan tidak akan membantu anda.

5# Maklumat palsu dalam resume

Resume adalah label atau brand diri anda. Resume yang dipenuhi maklumat tidak tepat seolah-olah meletakkan label palsu kepada sesuatu produk. Pastikan maklumat dalam resme adalah tepat dan benar tentang diri anda. Anda mempunyai tanggungjawab kepada diri sendiri.

Berkemungkinan tinggi yang panel temuduga akan bertanya pada anda tentang maklumat yang ditulis dalam resume semasa anda ditemuduga.

Bila anda menulis maklumat yang salah, riak suara dan gerak badan anda akan berubah. Ini akan disedari oleh penemuduga. Jadi…awas!

6# Lupa sediakan maklumat penting

Seperti orang yang mahu pergi membeli barangan yang penting. Perlu untuk senaraikan barangan itu di rumah sebelum keluar rumah. Ini supaya tiada barangan yang tertinggal tidak dibeli.

Begitu juga pergi temuduga. Ada senarai yang perlu dibawa. Dapatkan maklumat apa yang harus dibawa dan sediakan sehari sebelum pergi temuduga. Sediakan dalam keadaan tersusun kemas.

Selalunya maklumat yang perlu seperti sijil, surat pengesahan dan seumpamanya. Sediakan dalam fail yang elok.

7# Pemalu sangat dan kurang berinteraksi

Bersikap pemalu itu tidak mengapa tapi jika terlalu pemalu sampaikan kekok semasa sesi temuduga mungkin akan membuatkan anda tidak tersenarai dalam mereka yang akan dipilih.

Ini kerana, apa-apa juga pekerjaan sedikit sebanyak memerlukan kemahiran komunikasi. Jika pemalu sangat, panel temuduga akan berfikir anda akan susah berkomunikasi. Jadi rasa malu haruslah bertempat.

Malu yang terlampau akan mengurangkan sesi berinteraksi bersama panel temuduga. Walhal mereka memanggil anda ke temuduga untuk berkomunikasi dengan anda dan melihat bagaimana anda berkomunikasi untuk tujuan pekerjaan kelak.

8# Tidak menjaga Bahasa badan

Bahasa badan atau gerak badan adalah satu bentuk komunikasi. Jaga postur badan semasa duduk atas kerusi. Jangan menyandar terlampau sangat hinggakan anda kelihatan seperti mahu menonton televisyen di rumah.

Tunjukkan anda amat berminat dengan maklumat yang disampaikan oleh panel temuduga. Ia adalah maklumat penting untuk anda. Jika bosan, elakkan daripada menampakkan diri anda bosan kerana itu mencerminkan sikap anda.

Mereka tidak memberitahu anda jika maklumat itu tidak penting. Jadi, fokus dan jaga gaya bahasa badan anda.

9# Bertanya, “berapa gaji saya?”

Bertanya soal gaji sebelum panel temuduga menyentuh soal gaji merupakan kesilapan besar.

Gaji berbeza mengikut syarikat dan sector. Bagi sektor kerajaan, ada tangga gaji tersendiri mengikut gred jawatan. Bagi sektor swasta, tangga gaji mengikut aktiviti bisnes yang mereka jalankan.

Jika anda dipanggil temuduga kerajaan, tangga gaji sudah ditetapkan mengikut jawatan yang dipohon. Jika ini adalah panggilan temuduga di sektor swasta selepas anda tamat belajar, soal gaji boleh menjadi isu sensitif.

Anda tiada pengalaman kerja sebelum ini, jadi pihak syarikat tidak tahu sejauh mana potensi anda dalam menjalankan kerja atau jawatan yang dipohon.

Oleh itu, bertanya mereka hanya apabila mereka menyentuh soal gaji sahaja. Jika anda berpengalaman, bertanya soal gaji adalah satu kebiasaan kerana anda mempunyai pengalaman kerja dan kemahiran yang telah dibina sewaktu dalam pekerjaan sebelum ini.

10# Berlakon drama sedih dan merayu-rayu

Usah merayu minta anda diterima bekerja. Yakin dengan rezeki anda. Jika disitu bukan tempat anda, itu bermakna tempat anda adalah terbaik di syarikat lain.

Merayu dengan niat anda diterima bekerja dan menimbulkan perasaan kasihan, ia kurang berhasil. Ia menandakan anda amat terdesak dengan pekerjaan.

Berlakon drama sedih dalam sesi temuduga juga membuatkan panel temuduga menjadi rimas. Dan mungkin sesi temuduga anda bakal berakhir dengan lebih awal.

11# Tidak mampu buat keputusan

Soalan yang ditanya panel temuduga mungkin pebagai. Anda perlu yakin dengan jawapan anda. Keyakinan pada jawapan yang anda beri sendiri melambangkan tahap keyakinan atas keputusan yang bakal anda buat bila bekerja nanti.

Menangguh jawapan supaya anda boleh bertanya kepada pihak lain menandakan anda masih belum mampu membuat keputusan sendiri.

Ada masanya anda perlu merujuk kepada seseorang yang lebih tinggi pengetahuannya. Dalam situasi temuduga, jika jawapan memerlukan pengetahuan yang lebih tinggi, memang sesuai untuk menangguhkan jawapan. Di sini ia menandakan anda bijak mengurus sumber maklumat. Berlaku bijak dalam memberikan jawapan.

12# Tiada lesen kenderaan

Tidak mengapa jika tiada kenderaan kerana syarikat atau jabatan kerajaan pastinya ada kenderaan. Anda boleh guna kenderaan itu.

Tapi susah untuk syarikat atau jabatan kerajaan menerima anda bekerja jika tiada lesen kenderaan. Terdapat kerja yang mungkin memerlukan anda bekerja di luar pejabat. Bagaimana anda mahu memandu. Mustahil pihak majikan akan memberikan anda pemandu khas!

Namun ia bergantung kepada jenis jawatan yang anda mohon. Tetapi untuk lebih selamat usahakan dapat lesen kenderaan atau pilih jawatan lain yang tidak memerlukan lesen kenderaan sebagai syarat penting.

13# Tidak mahir berbahasa Inggeris

Selalunya ini menjadi mimpi ngeri calon temuduga. Adalah satu kelebihan bagi anda yang boleh berbahasa Inggeris. Selainnya, sesi temuduga merupakan sesi yang amat digeruni

Dalam sesi temuduga, temuduga boleh berlangsung dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. Ia terpulang kepada panel temuduga menyoal anda mengikut kehendak yang syarikat mahukan. Jika ia berlangsung dalam bahasa Melayu, ia adalah bonus bagi anda.

Jika ia dalam bahasa Inggeris, usah diamkan diri. Atur ayat sebagaimana yang anda boleh jawab. Mendiamkan diri menandakan anda tidak berminat dan tidak menampakkan yang anda mahu berusaha.

14# Banyak sangat ‘Kemungkinan’

Biasa bila panel temuduga bertanya soalan tentang penyelesaian masalah bagi jawatan yang anda pohon. Bila menjawab, elakkan daripada bercakap, “mungkin saya akan buat begini. Mungkin…. Mungkin,….

Ayat kemungkinan adalah ayat yang menandakan tahap keyakinan diri anda. Terlalu banyak kemungkinan dalam jawapan memungkinkan juga anda tidak diterima untuk menjawat jawatan tersebut.

Jawab dengan yakin dan matang. Anda ingin bekerja, bukan menjawab soalan di kertas peperiksaan. Tiada jawapan betul atau salah, mereka cuma ingin melihat kreativiti anda dalam menguruskan situasi yang berlaku.

15# Tiada pengetahuan langsung tentang syarikat/jawatan

Calon yang tidak mengkaji awal maklumat syarikat tempat dia ingin bekerja akan menjadi orang bengong bila panel temuduga bertanya, “apa pandangan anda tentang syarikat kami…”

Anda harus peka dengan jenis bisnes di syarikat yang anda ingin bekerja. Atau peka dengan jenis dan bidang tugas jawatan bila mahu berkhidmat dengan kerajaan.

Ambil masa mengkaji maklumat syarikat atau jawatan sebelum hadir temuduga. Maklumat boleh didapati di hujung jari sahaja sekarang ini, atau melalui buku atau risalah terbitan berkala.

Calon yang tidak mengetahui maklumat tentang syarikat dan jawatan yang mereka mohon menunjukkan mereka tidak berusaha dengan cukup.

16# Mengguna bahasa pasar

Bermaksud bahasa yang tidak formal. Anda tidak boleh berbahasa dengan panel temuduga seperti anda sedang bersembang dengan rakan di kedai kopi. Sesi temuduga meminta anda menggunakan bahasa yang formal dan teratur.

Mengambil mudah dalam soal bahasa ini memungkinkan anda tidak diterima bekerja kerana ia memberi persepsi yang kurang baik kepada panel temuduga.

Mereka  yang menemuduga anda adalah orang yang berpengalaman dan lebih tinggi pengetahuan mereka daripada anda. Oleh itu, gunakan bahasa yang lebih formal untuk menghormati mereka dan menghargai mereka sebagai orang yang berpengalaman.

TIP BONUS – hargai panel temuduga

Manusia suka dihargai. Oleh itu selepas tamat temuduga, berikan panel temuduga perhargaan. Ucapkan terima kasih kerana meluangkan masa menemuduga anda. Bukannya hanya bangun dari kerusi dan terus beredar.

Kalau boleh dapatkan emel mereka dan bila pulang ke rumah, tulis emel ucapan terima kasih dalam bentuk formal. Ia nampak biasa tapi kesannya di luar jangkaan.

Jika dalam perniagaan ia dinamakan ‘After Sale Service’. Pelanggan mungkin akan datang membeli semula bila kita ucapkan terima kasih atas pembelian mereka sebelum ini. Panel temuduga ini mungkin akan terfikirkan kita bila nama kita masuk dalam senarai akhir pemilihan.

tip interview

17# Terlalu ‘demand’

‘Demand’ bermaksud anda meminta pihak syarikat sediakan rumah, kenderaan dan pelbagai kelengkapan lain untuk anda.

Tidak salah untuk ‘demand’ jika anda sememangnya seorang yang menjadi rebutan dipasaran kerja. Tetapi jika ia adalah temuduga anda untuk melompat kerja ke tempat kerja baru, elak diri dari terlalu meminta-minta.

‘Demand’ bagi pihak syarikat adalah satu bentuk pelaburan mereka kepada anda. Bagaimana mereka boleh laburkan banyak kemudahan untuk anda sedangkan anda belum menunjukkan prestasi yang baik lagi kepada mereka?

18# Terlalu berpolitik

Adakalanya panel temuduga akan sengaja menguji anda dengan isu-isu politik. Mereka ingin melihat pendapat anda tentang hal-hal dunia luar.

Anda harus berhati-hati dalam memberikan pendapat supaya tidak menampakkan yang anda menyebelahi sesiapa. Atau dalam erti kata lain anda terlalu fanatik kepada sesuatu parti.

Jawab secara umum. Berpolitik bukan tempatnya di dalam bilik temuduga. Panel temuduga menyoal anda dengan niat untuk melihat sejauh mana kefahaman dan keseriusan anda dalam politik negara.

Bersederhanalah. Usah kerana politik, anda tidak diterima kerja.

Diharap 18 tip ini dapat membantu anda bersiap sedia bila dipanggil temuduga. Anda dapat menjalani temuduga dengan kejayaan mendapat kerja yang diidamkan!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge