Amalkan 10 Tip Ini Supaya Kerja Menjadi Seronok Dan Bukan Satu Beban | wilayahkerja.com

Bagaimana menjadikan kerja sehari-hari seronok?

Banyak daripada kita menganggap kerja satu beban, sedangkan kerja itulah saluran rezeki untuk keperluan hidup.

Hal ini dapat dilihat daripada sikap suka menunda kerja, asyik mengeluh, stress setiap kali ditimbunkan kerja yang perlu disiapkan dan seumpamanya.

Satu ‘penyiksaan’ menunggu hujung minggu. Dan satu penyiksaan juga bila hari Isnin menjelma.

10 tip ini boleh diamalkan untuk menjadikan kerja satu perkara yang menyeronokkan pada setiap hari.

1# Sentiasa bersyukur

Ucapkan Alhamdulillah setiap pagi dan sepanjang hari. Kerana kita bangun hari itu dengan mempunyai pekerjaan ketika ramai orang masih menganggur.

Bukankah itu jugalah yang kita inginkan bila kita ambil keputusan untuk ‘teruk-teruk’ belajar? Supaya mendapat pekerjaan yang baik-baik dengan kelulusan yang ada.

Dengan bersyukur, fikiran akan menghasilkan getaran positif sehingga kita dapat menghadapi dan melakukan kerja dengan nyaman.

 2# Mulakan kerja dengan doa

Kita diajar berdoa sebelum tidur, doa bangun tidur, berdoa bila menaiki kenderaan dan berdoa dalam apa jua keadaan yang mahu kita lakukan. Sekurang-kurangnya memulakan sesuatu dengan Bismillah.

Oleh itu, berdoa juga sebelum memulakan kerja. Sekurang-kurang membaca Bismillah ketika membuka pintu bilik pejabat atau ketika duduk. Paling bagus, membaca doa penuh yang popular seperti yang tersiar dalam laman web Kerajaan Kelantan.

Jika susah menghafalnya kerana panjang, cetak dan letakkan di meja kerja. Baca sebelum memulakan kerja. Lama-lama akan hafal dengan sendiri.

Ada keyakinan positif dalam diri bila berdoa, yang ALLAH akan memudahkan pekerjaan dan membantu menyelesaikan permasalahan kerja kita.

3# Anggap kerja bukan kerja

Anggap apa yang anda buat sebagai kerjaya bukan kerja semata-mata. Tidak faham. Mari kita fahami maksud ini dalam bentuk cerita mudah.

Ada seorang penoreh getah. Bangun awal setiap pagi pergi menorah mencari rezeki untuk menyara hidup anak isteri. Sekarang semua anak sudah besar ada kerja dan pendapatan sendiri. Dia dan isteri pula sudah tua dan tidak memerlukan duit sangat untuk hidup.

Tapi dia masih pergi menorah. Kenapa? Sedangkan anak-anak ada kirim duit setiap bulan dan cukup untuk keperluan hidup. Tambahan pula mereka suami isteri sudah tua yang tidak memerlukan duit sangat untuk menyambung hidup.

Ya, kenapa masih menorah? Kerana menorah setiap pagi itu sudah mendarah daging. Menorah bukan lagi untuk duit tapi sudah menjadi sebahagian kehidupannya.

Kiaskan (kaitkan) cerita ini dalam tugas kita di pejabat. Elak mengaggap diri sebagai buruh atau pekerja yang bekerja semata-mata untuk dapat gaji setiap bulan. Anggap apa yang kita buat setiap hari sebagai pembentukan kehidupan kita sendiri.

Orang yang bekerjaya adalah orang yang dianggap pakar dalam apa yang dibuatnya.

4# Buat yang terbaik

Berat atau mudah setiap kerja, lakukan yang terbaik. Keterbalikkannya, kita akan mendapat respon yang baik daripada mereka yang ada hubungan dengan kerja kita itu.

Respon baik itu, contohnya dipuji, akan membuatkan kita gembira. Ya, siapa yang tidak gembira bila kerjanya mendapat pujian. Itu pasti menjadikan setiap kerja kita menyeronokkan.

5# Jangan bertangguh

Jika memerlukan masa 3 hari untuk menyelesaikan satu-satu pekerjaan yang ditetapkan, berusaha selesaikannya dalam masa 2 hari. Dapat selesaikan dalam satu hari lebih bagus.

Cepat selesai satu-satu pekerjaan, akan ada banyak waktu longgar untuk mengerjakan pekerjaan lain.

Senarai pekerjaan yang bertimbun atas meja membuatkan seseorang itu stress. Cara untuk hilangkan stress… cepat selesaikan kerja. Jangan bertangguh.

6# Selalu ingat matlamat kita bekerja

Apa matlamat kita dalam bekerja? Semata-mata cukup untuk dapat gaji menyara anak isteri atau mahu membina kerjaya setinggi yang mungkin dalam bidang kerja yang kita ceburi.

Apa pun matlamatnya, ingatlah selalu supaya setiap kerja akan menjadi ringan. Kerana matlamat hidup lebih besar!

Anggap sahaja setiap kerja yang diamanahkan untuk kita buat sebagai tangga untuk meraih sasaran matlamat tersebut. Sama ada untuk kenaikan gaji atau kenaikan pangkat.

7# Selesaikan pekerjaan yang sukar dahulu

Ada yang menyarankan untuk selesaikan kerja yang mudah dahulu. Kerana kerja-kerja yang mudah ini sebenarnya yang ‘menyelerakkan’ meja kerja. Bila kerja mudah ini diselesaikan, meja sudah bersih. Jadi kita dapat tumpukan perhatian penuh untuk menyelesaikan kerja-kerja sukar.

Saranan untuk selesaikan kerja sukar dahulu adalah kerana alasan, pekerjaan yang sukar pun boleh diselesaikan, tentulah yang mudah lebih-lebih lagi boleh diselesaikan!

Apa pun, bergantung kepada kesesuaian diri sendiri. Mana yang anda rasa patut dibuat dahulu.

Ada orang yang moodnya akan baik bila kerja-kerja sukar sudah diselesaikan dulu. Ada pula yang tidak boleh buat kerja kalau benda-benda kecil masih ada di depan mata.

8# Ingat selalu keluarga tersayang

Bila datang perasaan malas untuk bekerja, ingatlah keluarga. Kaitkan impak negetif bila kita sering menunda kerja hingga banyak kerja yang tidak dapat diselesaikan.

Kemungkinan besar kita akan dinilai sebagai staff yang tidak bertanggungjawab.

Akibatnya? Tiada kenaikan gaji. Itu lebih baik berbanding, jika diberhentikan kerja?

Tiada kenaikan gaji (pendapatan rendah) atau tiada kerja, kedua-duanya pasti menyulitkan kehidupan mereka yang berkeluarga yang memerlukan belanja yang banyak.

9# Pecahkan kerja yang sukar

Melakukan kerja berat atau sukar sekaligus terus menerus memang memberatkan jiwa dan memakan tenaga yang banyak.

Strateginya adalah dengan memecahkan tugas tersebut mengikut bilangan hari yang perlu.

Bila kerja sukar tersebut perlu disiapkan dalam 3 hari, pecah kerja menjadi 3 bahagian. Siapkan 1 bahagian pada 1 hari dengan tumpuan penuh. Dalam 3 hari, siaplah kerja yang sukar itu.

10# Niat bekerja sebagai ibadah

Bagaimana menjadikan kerja sebagai ibadah. Bekerja dengan ikhlas.

Untuk mendapatkan ikhlas, betulkan niat bekerja. Bekerja untuk mendapat saluran rezeki yang halal. Bukan bekerja untuk gaji yang besar, yang boleh diguna untuk bermewah-mewah dan ‘berlagak’ dengan orang lain.

Ikhlas bekerja dengan niat yang betul menghasilkan getaran positif kepada fikiran dan jiwa, lantas menjadi ‘tenaga’ untuk bersemangat dalam bekerja dan menyelesaikan tugas.

Kesimpulannya, semua pekerjaan akan menjadi beban bila tidak diurus dengan bijak.

Amalkan tip-tip yang diberi supaya kerja menjadi lebih seronok dilaksanakan dan supaya kerja tidak menjadi beban.

Share

2 Comments on "Amalkan 10 Tip Ini Supaya Kerja Menjadi Seronok Dan Bukan Satu Beban | wilayahkerja.com"

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge